Sunday, November 15, 2009

GEMA MAHATHIR

Dari Himpunan Rencana : Datuk Abd Manaf Bin Haji Ahmad

Adakah benar Dr. Mahathir menanam semangat supaya umat Islam membenci orang Yahudi dan seterusnya mengatur satu strategi dengan tujuan hendak menghapus Negara Israel melalui ucapannya di dalam persidangan kesepuluh OIC di Putrajaya Malaysia minggu lalu. Ucapan itu telah mencetuskan perasaan marah orang-orang Yahudi yang merampas bumi Arab Palestin dan dijadikan Negara Israel dengan sokongan Negara-negara besar tertentu sebagai hadiah kepada orang Yahudi kerana hendak menebus kesalahan mereka menzalimi bangsa itu di Eropah dahulu.

Menurut mereka usaha Dr. Mahathir itu mesti dihalang. Mulutnya mesti ditutup kerana beliau boleh membuka mida umat Islam. Suaranya boleh menyatukan semula umat Islam dan mempunyai peluang mengembalikan kegemilangan tamadun Islam yang lalu. Mereka sedar bahawa kuasa besar juga mempunyai kepentingan semasa dan bukan mustahil satu masa nanti kuasa-kuasa besar juga akan sedar tentang keperluan bekerjasama dengan negara-negara Islam. Mereka bimbang negara Israel akan terpinggir.

Tohmahan mereka itu tidak benar malah rakyat Israel tidak sepatutnya membuat fitnah terhadap Dr. Mahathir melalui media gergasi yang menyokong mereka. Sebenarnya mereka patut berterima kasih kepada Dr. Mahathir kerana membuka lipatan sejarah dunia pertama dahulu.

Orang-orang Yahudi tidak sepatutnya menentang Dr. Mahathir kerana didalam ucapan itu beliau mengajak supaya umat Islam bekerjasama dengan orang-orang Yahudi sebagaimana mereka menolong bangsa itu semasa mereka lari dari kezaliman eropah ke Negara-negara Arab di Morocco Tunis, Libya dan Mesir. Keturunan mereka yang masih tinggal di Negara-negara ini boleh membuktikan bahawa Negara Islam melindungi mereka.

Dr. Mahathir telah membuat seruan supaya umat Islam masa ini bersabar dan jangan bertindak balas terhadap keganasan Israel kerana reaksi yang negative itu sudah berlalu lima puluh tahun, tindakan balas seumpama itu tidak mendatang apa-apa hasil malah membawa mudarat yang lebih besar. Umat Islam tidak perlu melayan emosi marah mereka tetapi perlu merancang dan mengatur strategi bagaimana boleh mengembalikan kegemilangan umat Islam di masa yang silam itu.

Pada pendapat saya Dr. Mahathir telah Berjaya menawan hati pemimpin-pemimpin Arab apabila beliau kemukakan pandangan dengan caranya yang tersendiri supaya umat Islam berdamai dengan Israel kerana gesaan itu selaras dengan ajaran Islam yang tersebut di dalam surah Al Anfaal ayat 61 yang bermaksud : “Jika pihak musuh cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya.” Beliau juga telah membentang fakta sejarah perjanjian Hudaibiah di antara Rasulullah Nabi Muhammad s.a.w. dengan kaum Quraish Mekah yang ditentang oleh para sahabat kerana Nabi kita bersifat lemah lembut dan terlalu mengalah. Tetapi akhirnya perjanjian yang dikecam itu mendapat kejayaan besar apabila kemudiannya Nabi dapat menawan kota Mekah dengan aman dan damai tanpa pertumpahan darah. Pada masa yang lalu gesaan berdamai dengan Israel tentunya akan mendapat tentangan yang hebat dari Negara-negara Islam. Mereka tidak mahu berdamai samasekali dengan Israel. Saya merasakan bahawa Dr Mahathir sendiri menjangkakan ramai orang Islam akan bangun menentangnya. Tetapi apa yang berlaku ialah sebaliknya. Israel menentang tetapi umat Islam menerimanya. Ini satu kejayaan besar bagi Dr. Mahathir.

Makanisme untuk perdamaian itu telah pun diputuskan oleh Bangsa-bangsa Bersatu (UN) tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana keengganan kedua-dua belah pihak. Rakyat Palestin telah menderita di khemah pelarian lebih 50 tahun dan kita umat Islam, tidak boleh berbuat apa-apa untuk mereka, hanya sekadar mencipta kata-kata besar tetapi kosong. Dengan berani Dr. Mahathir telah merungkai masalah ini di hadapan pemimpin kerajaan-kerajaan Islam di Putrajaya, Malaysia. Beliau berani mengajak umat Islam berdamai dengan Israel untuk kepentingan keamanan, ketenteraman awam supaya semua pihak dapat mencari makan dengan tenang tanpa risau masa depan yang tidak menentu, malah kita semua dapatlah menumpukan sepenuh masa untuk pembangunan dan merancang masa depan yang cerah.

Ucapan Dr. Mahathir itu bukanlah satu usaha merancang untuk menghapus Negara Israel kerana itu tidak mungkin sama sekali berlaku kerana Negara Israel telah di iktiraf oleh Bangsa-bangsa Bersatu(UN) dan disokong kuat oleh kuasa-kuasa besar.

Sebenarnya Israel dan kuncu-kuncunya menentang ucapan Dr. Mahathir itu kerana mereka tidak mahu melihat kebangkitan semula umat Islam melalui reformasi di dalam bidang pendidikan, pentadbiran, ekonomi, pertahanan, penyelidikan sepertimana yang disarankan oleh Dr. Mahathir di dalam ucapannya itu. Mereka bimbang, jika saranan itu mendapat sambutan yang positif dikalangan umat Islam maka akan ujud persaingan yang hebat dengan kuasa-kuasa ekonomi dunia yang menjadi penyokong kuat mereka selama ini. Mereka mula menyelubungi perasaan bimbang dengan saranan yang dibuat oleh Dr. Mahathir. Dengan sebab itu mereka membuat pelbagai andaian dan kemudiannya mengutuk dan mengancam Dr. Mahathir, dengan harapan supaya Negara-negara Islam tidak terpengaruh dengan perancangan dan strategi yang diutarakan oleh Dr. Mahathir itu.

Sekarang pun mereka sudah mula sedar bahawa kecergasan Malaysia dalam bidang perdagangan antarabangsa. Mereka bimbang satu masa nanti Malaysia akan menjadi kuasa ekonomi melalui proxy dengan Negara-negara Islam dan Negara-negara berkecuali yang sudah pun mendapat perhatian dan sokongan. Mereka bimbang E Dinar yang dirancang oleh Malaysia itu benar-benar menjadi kenyataan.

Dalam masa yang begitu singkat di dalam acara sampingan persidangan OIC, Malaysia telah Berjaya mementerai beberapa perjanjian perdagangan dua hal dan perkongsian pintar dengan Negara-negara OIC yang sesetengahnya mempunyai kekayaan minyak tetapi tidak mempunyai kepakaran di dalam bidang-bidang tertentu yang boleh disumbangkan oleh Malaysia. Sesetengah Negara mempunyai tanah yang luas dan subur tetapi tidak ada kepakaran yang berani menerokai dalam bidang pertanian di Negara berkenaan kerana keadaan keselamatan tetapi Malaysia berani melakukannya. Pasaran minyak sawit kita telah dapat menyaingi pasaran minyak soya di timur tengah dan Asia. Ada Negara-negara Islam yang meminta kepakaran kita bagaimana hendak menubuh tabung haji di Negara mereka. Inilah perkara-perkara sebenarnya yang membawa kebimbangan mereka kpada ucapan Dr. Mahathir itu.

Mereka lebih cemburu apabila melihat President Rusia Vladimir Putin menghadiri persidangan OIC sebagai pemerhati dan menjadi tetamu Kerajaan Malaysia. Mereka tahu bahawa Pemerintah Rusia masih mempunyai kemampuan yang tinggi dari segi sains dan teknologi. Mereka mempunyai keupayaan untuk membantu Negara-negara Islam dari segi ilmu pengetahuan, malah mereka masih memiliki senjata-senjata, kapalterbang dan peralatan perang yang canggih. Jika kekayaan umat Islam boleh disalurkan melalui program meningkatkan kemampuan umat Islam dalam bidang pertahanan, tentulah umat yang dipandang rendah itu akan digeruni nanti. Senjata pertahanan Rusia berjaya menahan kemaraan Israel di dalam perang Arab Israel tahun 1967 tetapi tentera Arab tidak mengambil berat dengan teknologi peralatan perang yang canggih, menyebabkan mereka kalah. Mereka juga tentu tidak lupa bahawa Rusia mempunyai kuasa veto dalam Majlis keselamatan bangsa-bangsa bersatu. Selama ini pun Rusia bersama-sama Negara-negara berkecuali dalam isu-isu antarabangsa. Kehadiran Presiden Rusia sebagai pemerhati di dalam Presiden OIC itu sangat membimbangkan mereka. Mereka mempunyai perasaan cemburu yang bersebab. Orang yang cemburu boleh melakukan apa pun.

Australia tentu merasa tidak senang kerana Malaysia member laluan kepada Rusia menghadiri persidangan OIC, walaupun sebagai pemerhati sedangkan Australia tidak diterima menyertai Asean sekalipun menagihnya berkali-kali. Mereka sangat kecewa.

Negara-negara asing tentu merasa cemburu dengan peluang yang berada dihadapan kita. Mereka sedang melakukan pelbagai cubaan mengacah kita supaya melatah. Jika kita mudah lupa, semua peluang itu akan hilang. Umat Islam akan kekal ditakok yang lama. Sebagai bangsa Malaysia yang mahu bangun, kita semua harus berpegang kepada falsafah yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir bahawa MALAYSIA BOLEH. Seluruh umat Islam di dunia pun boleh menggunakan slogan UMAT ISLAM BOLEH.

No comments:

Post a Comment